Tuesday, December 14, 2010

Guru kedua tumpu tugas sampingan


Oleh Lum Chee Hong
lumch@bharian.com.my 2010/12/14

Cadangan ringan tugas pendidik, jamin keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran

KUALA LUMPUR: Cadangan menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah mampu mengurangkan beban tugas guru, sekali gus dapat keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Peng, berkata antara lain guru pembantu boleh menumpukan kepada tugas sampingan lain seperti perkeranian serta pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi.

Katanya, guru pembantu juga boleh berperanan membantu murid yang menghadapi masalah seperti sakit atau demam ketika berada dalam kelas.

“Guru pembantu adalah cadangan yang baik, tetapi tidak boleh mengambil peranan sepenuhnya sebagai guru.

“Guru pembantu boleh membantu guru di bilik darjah, tetapi tugas mereka tidak boleh bertindih, contohnya jika lebih tertumpu kepada tugas perkeranian dan pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas cadangan itu, antara 28 perakuan dikemuka Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Dalam laporannya, jawatankuasa itu mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang peningkatan beban tugas guru, termasuk terlalu banyak penyertaan dalam kokurikulum dan sukan sehingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan.

Yim Peng turut mencadangkan Kementerian Pelajaran supaya melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak ke jawatan tetap selepas mereka berkhidmat dalam tempoh tertentu.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata pelaksanaan dua guru satu kelas dapat memberi faedah kepada murid kerana mudah untuk mengawasi mereka.

Katanya, guru boleh memberi tumpuan terhadap proses P&P, manakala guru pembantu berperanan memastikan proses berkenaan berjalan lancar di dalam bilik darjah.

“Justeru, guru pembantu perlu memiliki kelayakan Kursus Khas Perguruan, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pendidikan atau mengambil mereka kalangan guru sandaran tak terlatih (GSTT) bagi memenuhi keperluan terbabit,” katanya.

INFO: Nisbah murid, guru
·  Belgium: 15 murid
·  Amerika Syarikat: 14 murid
·  Denmark: 10 murid
·  Singapura: 17 murid
>li>Thailand: lebih 30 murid
·  Indonesia: lebih 30 murid
·  Malaysia : lebih 30 murid

Sumber: Institusi pendidikan negara terbabit dan UNICE
==============================================================
Komen :
Tahniahlah kalau cadangan tersebut menjadi kenyataan. Sebenarnya sewaktu  projek rintis pelaksanaan Sistem Pentaksiran Kebangsaan di beberapa buah sekolah rendah di seluruh negara pada tahun 2009 bagi murid tahun 1 telah dilantik secara kontrak Guru Pentaksir (DG41) bagi melaksanakan program pentaksiran berasaskan sekolah. Pada taklimat yang diberi kepada GB dan PK1 pada akhir tahun 2008, saya masih ingat lagi Lembaga Peperiksaan mencadangkan dilantik Pembantu Pentaksir di semua sekolah yang akan melaksanakan KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) mulai 2010. Malangnya perancangan tersebut tertangguh sehingga 2011.

Kerja-kerja perkeranian untuk mengisi markah, menyediakan lembaran kerja, bahan-bahan untuk pengajaran dan pembelajaran memang banyak. Dan sangat memerlukan Guru Pembantu Pentaksir. Ini berdasarkan pengalaman tahun 2009, sewaktu itu di SK Sultan Sulaiman 1 hanya satu kelas sahaja darjah satu melaksanakan  projek rintis Sistem Pentaksiran Kebangsaan.

Setiap murid mesti ada 12 file untuk menyimpan segala hasil kerja bertulis murid sebagai eviden. Paling kurang satu bilik darjah tahun 1 memerlukan 2 buah almari untuk menyimpan semua file tersebut sehingga akhir tahun. Itu semua dari segi keperluan asas, tidak termasuk kerja-kerja perkeranian seperti mengisi borang markah dan sebagainya.

Jika pelaksanaan KSSR ini masih mengekalkan seorang guru sahaja seperti dahulu, kemungkinan banyak perkara yang tidak mampu dilaksanakan oleh guru tahun 1 akan berlaku. Kemungkinan hasrat murni daripada Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah tidak mungkin tercapai.

Biasalah, segala apa sahaja perubahan dan perkembangan perlukan dokumentasi, dan pengisian pelbagai jenis borang ini akan mengambil masa guru untuk mengajar. Maklum balas daripada sekolah-sekolah yang pernah melaksanakan projek rintis tahun 2009 sangat berharga dan perlu diambil kira oleh perancang dan pelaksanaan di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah.

Berdasarkan kepada maklumat guru tahun 1 yamg pernah dilatih tahun 2008 dan 2009 oleh Lembaga Peperiksaan, ramai guru-guru tersebut telah pun bertukar digantikan dengan guru dan pegawai baru. Yang tinggal tak sampai 15 orang.

Jika keadaan ini tidak diperbetulkan, saya fikir mungkin banyak isu dan masalah baru akan timbul berkaitan dengan pelaksanaan Sistem Pentaksiran Kebangsaan.

Pandangan saya ini mungkin tidak tepat, tetapi selalunya sesuatu program dan perancangan di bawah Kementerian Pelajaran ini berasaskan try and error. Jika boleh kurangkanlah ”error”nya itu, supaya tidak ramai yang menjadi mangsa sebagaimana PPSMI. Wallah hualam.

Bekas GB Pencen/ Cgsyed.

No comments:

Post a Comment