Sunday, May 13, 2012

Fatwa BERSIH: Apabila agama diperkudakan
 
ULASAN Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Majlis Fatwa Kebangsaan) baru-baru ini mengeluarkan fatwa menyebut, haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara.

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April lepas.

Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

Umat Islam yang menyertai demonstrasi itu perlu insaf kerana tindakan itu bukan daripada ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya bertindak sedemikian sehingga mengancam nyawa sesama manusia demi mencapai sesuatu agenda.

Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz dalam respons segeranya mengatakan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan pandangan hanya menggunakan "sebelah mata".

"Bagaimanapun, apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan huru-hara, saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan hanya menggunakan sebelah mata. Mata yang digunakan pula adalah kabur dengan cermin mata yang telah pun rosak.

"Saya menghormati ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dengan setinggi-tinggi perhormatan namun dalam hal ini saya amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini," kata beliau dalam satu kenyataan media.

Menuju zaman gelap
Jika begitu fatwa dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, jelaslah tidak ada seorang wakil pun yang dihantar untuk menjadi pemerhati demonstrasi "duduk bantah".

Manakala Nik Aziz pula lebih berkredibiliti oleh kerana umum mengetahui ribuan anggota PAS menyertai perhimpunan tersebut.

Tambahan lagi, PAS menghantar ribuan anggota Unit Amal mereka untuk menjaga keselamatan rakyat dalam demonstrasi tersebut.

Jika memperjuangkan pilihan raya bebas dan adil dianggap haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, hilanglah integriti sebagai sebuah badan agama Islam yang dihormati.

Lebih baik Majlis Fatwa Kebangsaan keluarkan fatwa mengharamkan pilihan raya Malaysia yang jelas diwarisi dari penjajah Inggeris.

Bukan itu sahaja, Malaysia belum pernah ubah sistem pilihan raya First Past The Post (FPTP) yang ditinggalkan oleh penjajah. Dalam sistem FPTP, seseorang calon sudah dianggap menang walaupun dengan majoriti satu undi.

Dalam hal kehidupan sehari-hari, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah terlihat mempermudahkan kehidupan rakyat terutamanya umat Islam di negara ini.

Di mana fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu rasuah dan penyelewengan? Apa pula fatwa tentang rampasan kuasa yang dilakukan di negeri Perak dahulu?

Mengapa Majlis Fatwa Kebangsaan membisu apabila kerajaan jelas menindas rakyat seperti isu hak royalti minyak rakyat negeri Kelantan?

Malaysia sudah menerima pilihan raya sebagai sistem untuk memilih kepimpinan negara, apa masalahnya jika berdemonstrasi untuk menuntut sistem tersebut diperbaiki?

Belajar dari paderi di Filipina
Filipina merupakan satu-satunya negara Kristian di Asia Tenggara. Apabila Ferdinand Marcos mendeklarasikan undang-undang darurat - untuk halalkan beliau terus berkuasa, ada golongan paderi yang mengambil pendirian untuk melawan Marcos.

Mereka ini disokong oleh "mufti besar" seperti Cardinal Sin - berani mengambil pendirian berbeza dari Marcos.

Gereja-gereja menjadi tempat untuk memberikan pendidikan politik dan merekrut sukarelawan.

Ertinya golongan agama bukan sahaja menyampaikan surah-surah mengenai Isa akan tetapi turut sama dalam memantapkan kehidupan rakyat.

Hari ini, golongan agamawan di Malaysia sudah terpisah dari rakyat. Mereka sudah menjadi golongan elit yang digunakan sebagai alat untuk menindas rakyat.

Apakah pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu pembunuhan Altantuya Shariibuu? Mereka diam membisu kerana tertuduh dikatakan mempunyai kaitan dengan perdana menteri.

Golongan agamawan di Malaysia harus melakukan reformasi dengan segera. Jika tidak, mereka akan menjadi seperti gereja-gereja di zaman gelap Eropah. Tidak salahlah Karl Marx menganggap agama pada waktu itu (baca: zaman gelap) adalah candu kepada masyarakat.

AMIN ISKANDAR menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

No comments:

Post a Comment