Tujuh jawapan balas Pas
kepada Umno
Sinar Harian 14 Mei 2012
INI tujuh jawapan balas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang berucap di
Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei 2012 - kenapa Umno BN tidak layak diberi
mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pertama, apakah kepimpinan
Umno BN boleh dipercayai? Najib tidak boleh berbangga dengan pemberian BR1M
kerana ini bukan wang lebihan tetapi daripada hutang. Begitu juga durian runtuh kepada peneroka Felda,
bukan wang hasil jimatan. Kalau Felda wang banyak kenapa perlu berhutang dengan
KWSP sebanyak RM6 bilion. Malahan wang tunai Felda semakin kurang sejak Felda
di bawah pengawasan Najib pada 2004. Pada 2004, wang Felda RM4.08 bilion
telah kurang kepada RM1.39 bilion pada 2009. Ke mana wang Felda ini
dibelanjakan? Bangunan Felda sebanyak RM662 juta, projek basmi kemiskinan
rakyat Sabah RM253 juta dan kos tanam semula RM2 bilion.
Sedangkan negeri
Pakatan Rakyat beri kepada rakyat hasil ketelusan dan lebihan memerangi rasuah.
Kelantan yang miskin mampu memberi skim Kifalah sebanyak RM8 juta setahun, yang
Umno tidak pernah lakukan. Kerajaan di Selangor memberi air percuma yang tidak
pernah dimimpi oleh rakyat Selangor selama ini.
Semuanya hasil jimat cermat.
Walaupun Selangor memberi banyak kebajikan untuk rakyat, negeri Selangor tidak
muflis malahan simpanan Selangor meningkat kepada RM1.9 bilion. Wang BR1M RM500
untuk 55 tahun sekali sahaja, itu pun apabila Umno lemah.
Hujah mengatakan bahawa Umno
sahaja buat jalan, klinik, seolah-olah di negeri Thailand, Papua, Pontianak,
Malta tidak ada jalan kerana Umno tidak ada. Ini hujah zaman batu.
Kedua, parti mana yang lebih
baik, maka sudah tentu Pakatan Rakyat lebih baik daripada Umno BN yang terbukti
dan teruji. Buktinya pemerintahan Umno BN indeks rasuah meningkat, menurut CPI
pada tahun 2010 indeks 4.4 tetapi telah merosot kepada 4.3 pada tahun
2011. Laporan Ketua Audit Negara, Malaysia kerugian akibat ketirisan RM28
bilion pada 2008.
Ketiga, apakah Umno hendak
diharap jaga agama? Siapa yang runtuh Masjid Bujal? Runtuh surau kampung
Berembang Ampang, tutup surau Jubli Perak Bangi, tutup surau al-Rahmah Seksyen
8 Shah Alam, tutup Surau Puchong Perdana? Bukankah ini angkara Umno? Kalau
tempat suci umat Islam pun Umno tidak boleh diharap. Bagaimana hendak harap
Umno menjaga Islam yang lebih besar.
Apakah Umno mendakwa mereka menghormati
Raja-Raja Melayu? Siapa yang tabal Tengku Ibrahim di Padang Sekolah Ketereh? Siapa
yang kata Sultan Terengganu binatang? Siapa yang maki Raja-Raja Melayu ketika
krisis Perlembangaan 1983 dan 1993? Zahid Hamidi sendiri pernah pertikai
kedudukan Sultan Ismail Petra Kelantan kononnya tidak layak menjadi Sultan. Tan
Sri Rahim Tambi Chik suruh rakyat berbahasa dengan Raja ialah “saya” untuk
ganti perkataan “patik”. Umno jangan hipokrit kononnya pembela Raja-Raja
Melayu.
Keempat, Najib kena malu sikit kononnya
bijak urus ekonomi. Seantario
dunia tahu bahawa negara dan negeri BN perintah semuanya masalah. Hutang negara
meningkat daripada RM146 bilion pada tahun 2002 kepada RM456.1 bilion pada
tahun 2011.
Adakah Najib punya otak
mengatakan kerajaan yang hutang banyak, maka kerajaan itu cerdik mentadbir
negara. Pemerintahan Umno BN Kedah meninggal hutang hampir RM2.3 bilion kepada
Pakatan Rakyat.
Kelima, parti Umno yang
bermain isu-isu rasis di negeri Pakatan Rakyat. Siapakah yang anjur demo kepala
lembu di Selangor? Siapa pula yang demo kebumikan YAB Lim Guan Eng di Pulau
Pinang pada 10 Mei 2012? Apakah ini yang dimaksudkan dengan keharmonian kaum?
Kalau trend ini berlaku berterusan maka ia amat merbahaya kepada negara.
Keenam, transformasi apa
yang Najib bawa? Tidak lebih
daripada retorik. Apakah Undang-Undang ISA kononnya dimansuhkan? Sedangkan yang
baru lebih teruk. Rang Undang-Undang Pilihanraya diluluskan dengan secara
tergesa-gesa oleh Dewan Rakyat. Setelah mendapat kecaman maka Dewan Negara
menarik balik. Polis yang “merusuh” pada 28 April 2012 di himpunan Bersih
adakah ini transformasi Najib. Ini bukan transformasi tetapi transformer.
Ketujuh, BN gagal meningkat
pendapatan rakyat di negara ini. Buktinya 5.2 juta rakyat berpendapatan RM3,000
ke,bawah. Kenapa gagal? Bukankah Malaysia negara kaya? Kenapa rakyat miskin,
bagaimana Najib boleh mengaku beliau berjaya meningkat pendapatan rakyat. Walaupun
negara sudah merdeka 55 tahun tahap kemiskinan rakyat semakin parah. Malahan
kemiskinan sebenarnya dirancang supaya ia menjadi umpan kepada Umno untuk
mendapat undi dalam setiap kali pilihan raya.
Idris Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap
pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah
pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan
dan pendirian kami.
No comments:
Post a Comment