Saturday, May 5, 2012

Jangan sia-siakan amanah ALLAH
Jangan biarkan anak-anak merasakan ibu bapanya derhaka pada dirinya.


Jangan sia-siakan amanah ALLAH
SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
4 Mei 2012

ANAK ialah amanah ALLAH SWT. ALLAH mengamanahkan kita mengasuh, menjaga dan mendidik cahaya mata dengan sebaiknya. Dia ingin melihat anak itu membesar menjadi hamba-Nya yang soleh dan khalifah-Nya yang berbakti di muka bumi.

Sungguh besar amanah itu. Sungguh mulia sekali. Jika anak tidak membesar menjadi anak soleh, maka ibu bapanya telah mensia-siakan amanah ALLAH. Itulah ibu bapa derhaka!

Apa kita gelarkan kepada seseorang yang raja memerintahkan satu kerja kepadanya, tetapi dia tidak laksanakan? Apa lagi kalau tidak orang yang derhaka! Silap hari bulan, raja murka, dipancungnya kepala. Sedangkan ALLAH itu “Raja segala Raja”.
Setiap arahan Raja perlu dituruti!.

Acap kali kita mendengar mengenai balasan anak yang derhaka kepada orang tuanya ketepikan dahulu perkara itu, Rehal kali ini berkongsi kepada pembaca siapakah mereka yang boleh digelar ibu bapa derhaka.
Versi bapaku Sazali

Pendakwah Bebas, Muhammad Luqman Makhtar berkata, ibu bapa derhaka versi ‘bapa Sazali’ ialah ibu bapa yang menunaikan tanggungjawab sebagai penjaga sahaja, tetapi mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik kepada anak-anak. Manakala ibu bapa derhaka ‘pentingkan diri sendiri’ pula lebih teruk. Sudahlah tanggungjawab pendidik tidak ditunaikan, tanggungjawab sebagai penjaga pun diabaikan!.

“Menjaga, membesarkan dan mendidik, itulah cabang tugasan utama individu bergelar ibu bapa. Andai salah satu sahaja tidak ditunaikan, maka itulah yang dimaksudkan dengan ibu bapa derhaka.

“Mungkin ada yang terlintas di fikiran, adakah wujud watak bapa mithali dalam filem P Ramlee. Tentu sekali ada. Ambil contoh watak pendekar Mustar Kampung Pinang Sebatang. Melalui watak tersebut, Allahyarham cuba membaiki tanggapan masyarakat tentang watak bapa. Biarpun sebagai seorang pendekar atau ayah yang biasanya berperwatakan autokratik, namun ia tidak menjadi halangan untuk menzahirkan sifat penyayang. Pendekar Mustar pun boleh menyiram pokok,” jelas anak kelahiran Kelantan ini.

Menurutnya, menjadi ibu bapa bukan sekadar bertindak sebagai penjaga. Ramai orang mengambil mudah mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa. Ada yang menganggap asal sahaja sudah bagi makan minum, pakaian dan tempat tidur, itu sudah cukup. Renungkanlah, ALLAH hendak melihat anak itu bukan setakat dibesarkan, bahkan diasuh sehingga menjadi hamba dan khalifah-Nya yang soleh.

Menjadi ibu bapa yang mendidik, juga sekadar bermakna mencurahkan kasih sayang secara membuta. Apa sahaja yang anak pinta disediakan. Hendak memarahi anak pun enggan, apatah lagi hendak digantung rotan di dinding rumah.

Sedangkan ALLAH merahmati rumah yang digantungkan rotan di dindingnya. Jangan salah faham. Islam bukannya menggalakkan penderaan. Rotan ialah simbolik kepada unsur pelengkap dalam pendidikan yang sempurna iaitu ketegasan. Ini kerana pendidikan yang sempurna menggabungkan secara harmoni elemen reward dan punishment, menyayangi, memarahi, memujuk dan menegur.
Sayang anak berpada-pada

Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya ada menyebut: “Sesungguhnya anak boleh menjadi penyebab kebakhilan dan kebaculan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Muhammad Luqman berpendapat, ibu bapa yang prihatin terhadap anaknya adalah mereka yang menuturkan ucapan terima kasih kepada mana-mana individu yang menegur perbuatan tidak elok si anak dan bukan bersikap negatif dengan memaki hamun si penegur itu.

“Junjungan besar, Rasulullah mengingatkan kita agar tidak terlalu terpesona dengan anak-anak. Dek kasih sayang melampau terhadap anak-anak, kita boleh menjadi kedekut dan pengecut.

“Kita akan kedekut harta dan masa untuk menderma kepada orang lain dan juga agama. Segala harta hendak disimpan untuk anak-anak sahaja. Kita akan jadi pengecut sehingga enggan berjihad di jalan ALLAH,” ulas bekas pensyarah, Kolej Komuniti Selayang, Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau berkata, jika benar ibu bapa itu sayangkan anak, muliakanlah mereka. Memuliakan mereka bukanlah dengan melayan mereka macam anak raja. Memuliakan mereka ialah dengan mendidik mereka sehingga menjadi seorang yang berakhlak mulia.

Bila anak kita ada budi pekerti, maka di mana-mana sahaja dia akan dihormati dan disayangi.

Tidak lengkap pendidikan anak-anak tanpa pendidikan agama. Sehebat mana sekalipun pendidikan akademik dan moral yang diberikan kepada si anak, ia belum sempurna. Berapa ramai orang yang berkelulusan tinggi tetapi sanggup menghantar ibu bapanya ke rumah rumah tua? Dan, bukan pendidikan agama itu setakat pengetahuan tentang agama. Pendidikan agama yang sebenar ialah tentang menyuburkan jiwa dan fikiran anak-anak dengan unsur cintakan ALLAH dan Rasul-Nya.

Rasulullah pernah berpesan, “Muliakanlah anak-anak kamu. Perelokkanlah adab mereka.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ibu bapa derhaka besar dosanya

Balasan anak derhaka disegerakan di dunia. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Semua dosa akan ditangguhkan pembalasan sampai nanti hari kiamat, kecuali derhaka kepada ibu atau bapa, maka sesungguhnya ALLAH akan segerakan pembalasan kepada pelakunya dalam hidupnya (di dunia) sebelum dia meninggal dunia.” (Hadis Riwayat Hakim)

Muhammad Luqman menegaskan agar tidak ada yang salah faham dengan hadis di atas kerana tidak semestinya dosa yang ditangguhkan azabnya sehingga hari kiamat itu lebih ringan daripada dosa yang ALLAH segerakan. Bahkan azab di akhirat itu lebih berat ditanggung. Justeru, generasi Islam dahulu sentiasa berdoa agar disegerakan balasan atas dosanya sekiranya ada di dunia lagi.

“Dan, tidak semestinya satu dosa yang tidak disebut jenis azabnya, ia ialah ringan. Asal sahaja nama dosa, tiada yang ringan. Dosa akan bertukar azab sengsara di akhirat kelak.

Baginda bersabda: “Cukuplah seseorang itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

“Hakikatnya ibu bapa derhaka dosanya besar!. Buktinya Nabi tidak mengaku umat! Kenyataan tegas “bukan daripada kami” ini bukannya hal remeh. Hanya beberapa dosa sahaja yang Nabi gunakan kenyataan ini. Antaranya dosa membuat bid’ah, dosa mengampu penguasa zalim, dan dosa memperdayakan orang ramai. Orang yang Nabi tidak mengaku umat tidak akan selamat di akhirat. Sekalipun dia bersolat tidak tinggal, puasa tidak pernah ponteng dan naik haji berkali-kali,” katanya lagi.

Terdapat sebuah kisah yang wajar dijadikan teladan kepada ibu bapa dan anak. Pada suatu hari datanglah seorang lelaki menemui Khalifah Umar al-Khattab, dia mengadukan hal kederhakaan anaknya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu lalu memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak-hak bapanya.

Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?” Umar menjawab: “Ya.” Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?” Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).”

Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapa ku tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun daripada al-Quran.”
Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anak mu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku buruj dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadap mu."


No comments:

Post a Comment