Wednesday, May 16, 2012

Pesanan untuk membentuk citra guru mujahid

Harakahdaily, 16 Mei 2012

Guru selayaknya seorang mujahid. Demikian yang ditunjukkan oleh Ustazul Mukminin, Rasulullah s.a.w. ketika baginda menjalankan dakwahnya, bermulalah jejak tugas seorang guru kepada manusia.

Tugas mudaris dan mujahid tidak selayaknya dipisahkan. Yang menyatukan tanggungjawab antara seorang  pendidik dengan seorang mujahid ialah hadaf yang satu. Iaitu yang seharusnya dicapai adalah untuk mengeluarkan manusia dari pengabdian kepada selain Allah dan membawa manusia kepada hanya menyerah diri dan mengabdi total hanya kepada Allah.

Kami mengungkap tema Guru Mujahid kerana persoalan fungsi guru membentuk insan pelajar kini tidak diserasikan antara kerja mengajar dan kerja menghidupkan kecintaaan pelajar kepada Islam.
Malah yang sering dapat diperhatikan ialah guru hanya dilihat sebagai profesi yang mengejar kecemerlangan hanya pada kerangka kerjaya yang diukur mengikut pencapaian yang digariskan oleh skima perjawatan JPA.
Lalu berlumba-lumbalah guru bekerja keras untuk menepati pencapaian tersebut tanpa melihat garis ukur yang jauh lebih murni, jauh lebih suci. Iaitu apakah generasi yang dididik melalui sistem pendidikan yang ada mampu melahirkan generasi yang memenuhi ciri-ciri ibadurrahman dan sejauh mana seorang guru turut terlibat di medan perjuangan untuk menegak dan membela Islam.

Hari Guru yang saban tahun disambut membawa erti besar kepada para warga pendidik. Sayang jika para guru sendiri tidak merasa ini suatu hari yang bermakna.
Setelah gugurnya bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada tahun 1945, Kaisar Jepun  pernah bertanya suatu hal yang menyebabkan orang terpinga-pinga. Sebabnya dia bertanya dalam ribuan rakyat Jepun yang terkorban, " adakah ada lagi guru yang maseh hidup?". Demikian Kaisar Jepun memberi kepentingan kehadiran guru untuk melihat peluang untuk bangkit semula diatas runtuhan dan kehancuran akibat bom atom yang digugurkan oleh tentera Ameirika Syarikat.

Sebetulnya kami telah memikirkan apakah tema yang seharusnya boleh merangsang para guru untuk benar-benar merasa bahawa profesi seorang guru itu adalah profesi yang membawa kesan jauh lebih bermakna dari kerja keras untuk mencapai kecermelangan dalam peperiksaan umum bagi tujuan menaikkan nama sekolah dan jabatan.

Kami sangat prihatin betapa menjadi seorang guru dalam situasi kini sangat menghimpit. Kerap yang disunguti ialah guru kini tidak menjiwai perjuangan dalam bidang pendidikan  berbanding  guru masa lampau.


Tidak dapat disangsikan para guru pada zaman kolonial adalah sebahagian besarnya adalah kelompok yang berada di saf peneraju perjuangan kemerdekaan tanah air. Guru membawa imej pembentuk jiwa merdeka untuk rakyat. Guru sinonim dengan pejuang kemerdekaan. Bukan setakat mengajar disekolah untuk mencemerlangkan penuntut dalam pencapaian peperiksaan malah guru berada di barisan depan mempelopori perjuangan kemerdekaan.


Sungutan betapa guru lebih banyak terbeban dengan kerja pentadbiran (paper work') berbanding menjalankan fungsi mendidik adalah suatu yang malang. Dalam keghairahan pihak atasan mahu mencapai KPI dan lantaran itu guru yang berada dalam bilik darjah dibebankan untuk menyiapkan segala tugas yang terlepas dari kerja mendidik yang sebenar pada hakikatnya akan merugikan.


Natijahnya amat mendukacitakan. Guru lelah mengejar masa antara menyelesaikan Rancangan Mengajar, ditambah lagi dengan beban menyiapkan pelbagai tugas pentadbiran.


Kami tidak hairan bagaimana sistem pendidikan masakini gagal melahirkan guru yang berkualiti mujahid. Malah tidak terbayangpun konsep Guru Mujahid itu sendiri dalam skima melatih guru. Bercitra sebagai Guru Mujahid mungkin dilihat terlalu menggugat. Lantaran guru hanya sebagai karieris sudah memadai supaya masing-masing hanya berfikir untuk menjadi cemerlang dalam konteks kerjaya semata-mata.


Bukan sahaja beban kerja sangat melelahkan malah sistem yang sedia ada lebih banyak tertumpu kepada kerja di luar tugas mendidik.

Seorang guru yang bercitra mujahid bermula dari niatnya yang merentas kepentingan duniawi. Apa yang terpendam dalam sanubari guru mujahid adalah membentuk watak anak muridnya berpandukan susunatur ilmu yang disampaikan.

Lebih penting dari itu ialah bagaimana ilmu yang disampaikan itu mampu diterjemahkan dalam aplikasi seharian buat dijadi pedoman untuk pendewasaan anak murid. Tidak kira dia seorang yang berada atau sebaliknya. Pokoknya ilmu yang disampaikan  adalah bagaikan menyemai benih untuk kemudian tumbuh sebagai pohon yang merimbun memberi manfaat kepada siapa sahaja yang berlindung di bawahnya.


Sebenarnya kita sangat mendambakan guru yang bersifat Dzu Wujuh, iaitu menpunyai banyak wajah dalam arti yang baik. Ia adalah seorang guru bangsa, pendidik ummat dan mujahid da’wah, ia adalah seorang budayawan atau pemikir budaya, ia adalah seorang ‘alim dengan segala atribut yang lekat dengan gelar itu, ia adalah seorang berfikiran matamg dalam membaca politik masa depan.


Seorang guru harus memilikki pandangan pendidikan  tidak terlepas dari grand konsep yaitu dakwah. Secara idealnya pada diri seorang guru akan menemukan konsep yang konsisten baik yang berhubungan dengan dakwah maupun pendidikan. Dalam ertikata lain  dalam perumusan tujuan hidup seorang guru dalam konsep da’wah sama dengan tujuan hidup dalam konsep pendidikan.


Seorang guru harus memiliki kefahaman bahawa  tujuan pendidikan ada dua macam, iaitu: a. Menjadi hamba Allah; b. mencapai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.


Dengan mengacu kepada surat Adz-Dzariyat ayat 56 yang ertinya: “Dan Aku (Allah) tidak menjadikan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah Aku”.


Selanjutnya dengan mengacu kepada surat al-Fathir ayat 28, yang ertinya: “Bahwa yang sebenar-benarnya takut kepada Allah itu, ialah hamba-Nya yang mempunyai ilmu”,


Perhatikan catatan DR. G. J. Nieuwenhuis mengatakan, “suatu bangsa tidak akan maju, sebelum adanya guru yang mau berkorban untuk kemajuan bangsa tersebut”.


Kami kutip pernyataan itu kerana nampaknya ada tanda bahawa pada saat ini minat kalangan akademik untuk menjadi guru yang menjiwai erti pengorbanan sudah mulai menurun.


Lantaran itu sempena Hari Guru untuk tahun 2012 ini kami menghimbau pesanan yang diharap diperhatikan setiap guru yang memilih untuk terjun dalam medan pendidikan sebagai medan jihad.


Adalah diharapkan tatkala sistem pendidikan yang ada sekarang maseh jauh dari memenuhi maksud pendidikan dalam ertikata sebenar, maka ditangan gurulah amanah membentuk generasi akan dipertaruhkan. Bermakna para guru harus siap memainkan peranan diluar kotak sistem yang kini sangat ditentukan oleh pasaran ekonomi.


Kami mengharapkan agar fungsi memanusiakan pendidikan dalam erti yang dituntut Allah ke atas diri kita akan direalisasikan oleh warga guru yang ada. Moga para guru siap menjadi Guru Mujahid yang boleh membawa islah kepada ummah dan dunia.


Selamat Hari Guru 2012


Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Teras

Ustazah Rubiyah Haron

Timbalan YDP SALIMAH

No comments:

Post a Comment