Hak Perlembagaan yang dinafikan
Sinar Harian 7 Mei 2012
Tempoh hari, seperti yang kita semua tahu, satu perhimpunan
besar-besaran telah berlangsung di ibu kota. Perhimpunan awal yang aman
telah bertukar menjadi ganas. Begitu banyak ulasan ditulis dan akan
ditulis mengenai apa yang berlaku pada hari tersebut.
Saya ingin berkongsi pengalaman pada hari tersebut. Bukanlah sebagai
seorang pemprotes, tetapi peguam yang berkhidmat untuk Pusat Bantuan
Guaman Majlis Peguam pada hari itu. Pusat Bantuan Guaman mempunyai satu
pasukan penahanan segera atau dalam bahasa Inggeris, urgent arrest yang
memberikan khidmat guaman secara percuma terhadap sesiapa yang ditahan
ketika demonstrasi, tidak kira siapa mahupun kuasa tindakan mereka.
Khidmat diberikan atas prinsip bahawa setiap yang ditahan harus
diberikan peluang untuk berunding dengan seorang peguam.
Ini termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang
menyatakan, sesiapa ditahan harus dimaklumkan tentang alasan
penahanannya dan juga diberikan peluang untuk berunding dengan seorang
peguam pilihannya. Di samping itu, Seksyen 28A Kanun Acara Jenayah
memperuntukkan, polis harus memaklumkan kepada seseorang yang ditahan
bahawa dia mempunyai hak untuk berunding dengan peguam dan harus
diberikan peluang berbuat demikian.
Pasukan kami tiba di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur lebih
kurang jam 5.30 petang, sebelum mana-mana tahanan sampai di sana.
Apabila beberapa bas dan trak polis membawa mereka yang ditahan ke dalam
Pulapol, kami memohon dibenarkan berjumpa dengan anak guam kami di
dalam. Jawapan diterima adalah mereka sedang menunggu arahan untuk
membenarkan kami.
Malangnya, arahan yang dinanti-nantikan ini tidak pernah tiba,
sampailah tahanan terakhir dibebaskan 12 jam kemudian. Kami mendesak,
memohon, merayu dan menuntut, namun kami tidak diendahkan.
Kami memohon untuk berunding dengan mana-mana pegawai yang mempunyai pangkat di dalam Pulapol untuk membenarkan masuk, namun juga tidak diendahkan. Malah, pegawai bertugas di situ langsung tidak mahu bekerjasama untuk mengesahkan sama ada beberapa tahanan bawah umur ada di Pulapol atau seorang warga emas berumur 71 tahun ada ditahan, mahupun memberitahu berapa ramai lagi tahanan yang masih ditahan. Kami dilayan bak habuk yang tidak bermakna, bagaikan manusia picisan yang tidak wajar diiktiraf. Walhal kami hanya menjalankan tanggungjawab sebagai peguam.
Kami memohon untuk berunding dengan mana-mana pegawai yang mempunyai pangkat di dalam Pulapol untuk membenarkan masuk, namun juga tidak diendahkan. Malah, pegawai bertugas di situ langsung tidak mahu bekerjasama untuk mengesahkan sama ada beberapa tahanan bawah umur ada di Pulapol atau seorang warga emas berumur 71 tahun ada ditahan, mahupun memberitahu berapa ramai lagi tahanan yang masih ditahan. Kami dilayan bak habuk yang tidak bermakna, bagaikan manusia picisan yang tidak wajar diiktiraf. Walhal kami hanya menjalankan tanggungjawab sebagai peguam.
Saya tidak menyalahkan pegawai-pegawai yang bertugas di sana. Mereka
tidak mempunyai kuasa mahupun pilihan untuk berbuat apa-apa. Mereka
hanya mengikut arahan atasan. Apa yang saya persoalkan adalah mengapa
pihak atasan polis tidak memberikan arahan yang sepatutnya diberikan?
Mereka tahu apa sedang berlaku, kerana Majlis Peguam ada menghubungi
seorang polis berpangkat yang bertanggungjawab. Mengapa mereka tidak
pedulikan hak-hak tahanan, sedangkan kami tahu mereka menuntut untuk
diberikan peluang berunding dengan peguam. Sedangkan Suhakam dan pihak
media dibenarkan masuk ke dalam, mengapa peguam pula tidak dibenarkan?
Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Kita berbicara tentang
hak yang dijamin oleh Perlembagaan. Bolehkah hak ini dengan
sewenang-wenangnya dicampak ke tepi mengikut selera mereka? Kesemua 500
tahanan pada malam itu dinafikan hak mereka di bawah Perlembagaan dan di
bawah Kanun Acara Jenayah tanpa apa-apa justifikasi.
Ingat, protes dan demonstrasi tidak berlaku setiap hari. Tetapi setiap
hari, akan ada seorang yang ditahan. Akan ada tahanan yang ingin
berunding dengan peguam. Akan ada seorang peguam memohon untuk berjumpa
dengan anak guamnya. Adakah kita ingin pendekatan ini berterusan?
Begitu ironi, apabila para demonstran dikecam kerana kononnya tidak
menghormati undang-undang, tetapi dalam kalangan polis sendiri ada yang
tidak mendukung Perlembagaan.
* Penulis seorang peguam muda dan rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.
www.sinarharian.com.my
tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang
diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan
tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
No comments:
Post a Comment