KETAWA YANG AKHIR…
USTAZ PAHROL MOHAMAD JUOI. 
23
        Mei
       
Keyakinan
 kepada Hari Akhirat sangat penting ketika hidup di dunia. Itulah 
prinsip yang menjadikan manusia mampu melaksanakan kebaikan walaupun 
sekiranya tidak mendapat penghargaan atau ganjaran. Dan itulah juga 
penghalang untuk tidak melakukan kejahatan sekalipun terlepas daripada 
undang-undang dan pemerhatian orang. Justeru, dunia tidak adil. Acapkali
 orang baik ditindas dan dizalimi. Manakala orang jahat pula yang 
disanjung dan dipuja.
Apakah kerana dunia tidak adil kita akan
 berhenti melakukan kebaikan? Tidak. Orang beriman akan terus membuat 
kebaikan kerana yakin adanya Hari Ahirat. Di sana setiap kebaikan pasti 
mendapat balasan. Apa yang lebih diharapkan adalah ganjaran akhirat 
bukan keuntungan dunia. Hidup di dunia adalah  untuk ‘menanam’ pohon 
kebaikan sebanyak-banyaknya. Insya-Allah di akhirat nanti akan dituai 
hasilnya. Mereka yakin, “one who laughs last, laugh best – yang ketawa 
terakhir ialah ketawa yang terbaik!
Orang beriman celik mata hati. Syurga, 
pahala, keredhaan Allah dan pengampunanNya jelas tertera di ruang hati. 
Mereka rela rugi, dicaci dan menderita di dunia yang sementara demi 
mendapat ganjaran, pujian dan kesenangan di akhirat yang abadi. Dunia 
ini dirasakan ladang tempat bercucuk tanam. Justeru, mereka adalah orang
 yang paling sibuk berkerja di dunia. Mereka sentiasa aktif dan 
produktif. Ya, kecintaan kepada syurga tidak bermakna meminggirkan 
dunia! 
Hati orang beriman dapat melihat dengan 
jelas dunia yang dekat dan akhirat yang jauh. Yang dekat (dunia) 
dimanfaatkan semaksimumnya demi keuntungan pada yang jauh (akhirat). 
Hati mereka tidak rabun dekat dan juga tidak rabun jauh. Hubungan 
kesalingan antara keduanya dapat dilihat dengan jelas dan tepat. 
Menerusi pandangan mata hati, mereka memburu dunia dengan 
sebanyak-banyaknya… Namun bukan untuk diletakkan di dalam hati. 
Sebaliknya, hanya diletakkan di tangan agar mudah diagih-agihkan.
RABUN JAUH
Sebahagian besar manusia, rabun jauh… 
hanya nampak kehidupan dunia. Akhirat seolah-olah tidak ada. Memburu 
kenikmatan dan kesenangan dunia tanpa memikirkan soal halal dan haram. 
Menipu, rasuah dan mengambil hak orang lain dengan penuh kelicikan dan 
tipu daya. Undang-undang dan peraturan dunia dimanupulasi dan 
dieksploitasi dengan bijaknya. Mengumpul harta sebanyak-banyaknya 
seolah-olah ingin hidup selama-lamanya di dunia.
Mereka lupa bahawa memburu dunia dengan 
melupakan akhirat hanya meninggikan tempat jatuh. Semakin banyak 
kuantiti harta yang mereka dapat, semakin banyak banyak kualiti jiwa 
yang mereka hilang. Ketamakan, kerakusan, kekejaman dan kepura-puraan 
akan melanda hidup mereka. Mereka akan ‘diburu’ oleh apa yang mereka 
buru. Harta adalah hamba yang paling baik tetapi tuan yang sangat kejam!
Maksudnya, selagi dunia dijadikan alat 
untuk mencapai matlamat (membuat kebaikan sebanyak-banyaknya), maka 
selagi itulah ia akan memberi manfaat. Sebaliknya, jika dunia sudah 
dijadikan matlamat… ia akan menipu dan menghancur pemburunya. Firman 
Allah: “Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (3:185)
 Menikmati kesenangan dunia tanpa mencintai akhirat umpama minum air 
laut… Semakin diminum akan semakin haus. Manusia hakikatnya bukan warga 
dunia, manusia adalah warga akhirat. Kata hukama:”Dunia diciptakan untuk
 manusia. Manusia diciptakan untuk akhirat.”
Dunia adalah alat, akhirat itulah 
matlamat. Tetapi manusia yang punya hati yang ‘rabun jauh’ hanya dapat 
melihat yang dekat dan singkat. Alangkah ruginya apabila umpan (dunia) 
lebih dipentingkan daripada ikannya (akhirat). Alangkah bodohnya membuat
 pondok di atas jembatan sedangkan villa di seberang sungai lebih cantik
 dan agam?
Golongan rabun akhirat ini sangat 
berkira dan banyak alasan  untuk tidak membuat kebaikan. Jika tidak 
mendapat ganjaran dan pujian mereka akan berhenti memberi. Mereka 
memberi hanya untuk menerima lebih banyak. Tidak ada istilah budi dan 
pahala lagi. Hanya ada laba dan dosa. Pantang ada peluang dan 
kesempatan, mereka akan melakukan kejahatan untuk mendapat keseronokan 
dan keuntungan. Mulut mengatakan akhirat itu ada… tetapi di hati, 
akhirat itu telah mati.
RABUN DEKAT
Ada pula golongan manusia yang punya 
hati rabun dekat. Mereka tidak mampu melihat dunia ini sebagai kebun 
akhirat. Dunia ini dirasakan bangkai yang busuk dan menjijikan. Lalu 
mereka menjauh dan membenci dunia. Kononnya hati mereka di akhirat 
tetapi terlupa bahawa kakinya masih menjejak dunia. Mereka ingin 
menyeberang tanpa jembatan, memburu matlamat tanpa alat… ingin memancing
 ikan tanpa umpan!
Mana mungkin kita memberi tanpa 
memiliki? Mana mungkin kita memiliki tanpa mencari? Mencari, memiliki 
dan memberi adalah tiga langkah yang perlu untuk memberi manfaat kepada 
orang lain. Orang beriman mesti mencari dunia… kemudian memilikinya dan 
akhirnya memberinya. Malangnya, golongan ‘rabun dekat’ ini menghindari 
dunia dan membencinya… lalu apakah yang hendak mereka berikan?
Jika tidak ada harta, mana mungkin ada 
pahala sedekah dan zakat? Jika tidak ada senjata, mana mungkin ada 
perjuangan dan jihad? Tanpa harta Sayidina Abu Bakar ra, Bilal akan 
terus menjadi hamba. Tanpa infak harta oleh Sayidina Utman ra, kaum 
Ansar dan Mujahirin tidak akan ada sumber air di Negara Islam Madinah. 
Justeru, jadilah tangan yang di atas… dengan mencari, memiliki dan 
memberi harta. Milikilah hati yang celik… dengan  mencintai syurga tanpa
 meminggirkan dunia!

 
No comments:
Post a Comment