Friday, May 11, 2012

Guru Penjana Inovatif Pendidikan

(11 Mei 2012 / 19 Jamadilakhir 1433H)
 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
 
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “GURU PENJANA INOVATIF PENDIDIKAN”.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
 
Sesungguhnya kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Tarikh 16 Mei pada setiap tahun merupakan hari yang amat bermakna bagi setiap warga guru pasti diingati, dihargai dan diraikan dengan sewajarnya. Tidak kiralah siapa pun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu yang dicurahkan, tidak kira apa bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita. Merekalah yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira supaya kita ini menjadi insan yang berilmu dan berguna. Oleh yang demikian, adalah wajar untuk kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat dan negara.Berdasarkan kepada sumbangan para guru maka tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”.

Guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat transformasi (perubahan) atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan perkembangan minda yang lebih dinamik. Atas dasar itu, guru haruslah berperanan untuk menggarap elemen-elemen inovasi di dalam melonjak transformasi pendidikan negara, dengan idea dan kepakaran yang diterpakan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran dapat mengaplikasi segala sumber ilmu melalui kaedah yang paling kreatif dan berinovasi. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 190:
Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang ang berakal.”
Menurut Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa ayat ini mengandungi perintah Allah kepada manusia supaya menggunakan akal dan fikiran, untuk melakukan penelitian serta penyelidikan terhadap dalil kekuasaan Allah di muka bumi. Budaya mengkaji dan bermuhasabah ini diharapkan mampu menjana guru-guru yang berinovasi.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
 
Usaha melahirkan modal insan yang beriman dan bertakwa bukanlah suatu usaha yang mudah dan boleh di pandang remeh. Usaha tersebut memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Justeru atas tuntutan tersebut, para guru telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit tanpa mengenal erti penat lelah dan perasaan jemu bagi memastikan anak-anak didiknya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan. Selain daripada itu juga para guru berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghapuskan kejahilan dan kecelaruan yang sering kali bermain dibenak fikiran anak-anak didiknya. Dengan berkat kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan maka akhirnya lahirlah mereka yang berjaya dan tersohor di tengah-tengah masyarakat.

Kita tidak dapat menafikan bahawa guru berperanan menjadi agen perubahan di dalam masyarakat. Para guru berganding dengan ulama’ dan umara’ terus menerus tanpa putus asa, menggerakkan usaha membangun modal insan terbilang. Ini termasuklah membangun minda anak-anak melalui ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah sehinggalah kepada ilmu-ilmu kehidupan, termasuklah ilmu sains dan teknologi. Guru bukan hanya sekadar mengajar, malah guru turut mendidik dan membentuk akhlak-akhlak terpuji. Manakala para pelajar yang ingin dilahirkan pula bukan sahaja hebat inteleknya, malah beradab dan berintegriti. Itulah antara perkara yang ingin dicapai dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan bertepatan dengan maksud hadith Nabi SAW:
“Apabila seorang anak Nabi Adam AS meninggal dunia maka terputuslah (pahala) amalannya kecuali dari (pahala) tiga (3) perkara iaitu sedekah jariah, ilmu (yang dicurahkan) yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan (rahmat dan keampunan) untuknya.”(Riwayat Muslim)
Sidang Jemaah yang dihormati,
 
Islam menggalakkan kita untuk menuntut ilmu, dan mengajarkannya pula kepada insan lain. Wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW melalui surah al-‘Alaq telah memberikan penekanan tentang kepentingan membaca dalam usaha melengkapkan diri dengan ilmu. Tambahan pula, kelebihan orang yang berilmu telah dirakamkan melalui firman Allah di dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Maksudnya: “Supaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat. Dan Allah Maha Mengetahui tentang apa yang kamu lakukan.”

Sidang Jumaat yang dihormati,
 
Era globalisasi dan cabaran semasa menyebabkan dunia pendidikan anak-anak kita menjadi lebih terbuka. Penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi seperti penggunaan laman sosial yang tidak terkawal, serta pengaruh negatif media massa mempengaruhi tindakan para pelajar.Sering kita mendengar para pelajar yang bertindak di luar batas keagamaan dan sosial seperti merakam aksi ghairah, membuli rakan-rakan serta melakukan jenayah akibat terpengaruh dengan perkembangan yang bersifat negatif. Mimbar ingin menyatakan bahawa kita tidak boleh meletakkan peranan membentuk akhlak dan peribadi anak-anak kita hanya kepada guru-guru di sekolah sahaja. Ibu bapa serta ahli masyarakat sewajarnya memainkan peranan secara kolektif. Gunakanlah ruang permuafakatan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjana idea dan menyelesaikan masalah. Selain daripada ibubapa, masyarakat juga mestilah memainkan peranan yang penting dalam usaha menyokong para guru untuk membentuk dan mendidik generasi muda hari ini.

Antara peranan yang boleh dimainkan oleh masyarakat ialah mewujudkan kembali budaya tegur menegur dan nasihat menasihati bagi meningkatkan penghayatan nilai murni serta mengurangkan amalan negatif dalam kalangan remaja. Bagi ibu bapa pula janganlah cepat melenting sekiranya anak kita ditegur oleh guru dan ahli masyarakat, sebaliknya ambillah ia sebagai satu teguran yang positif dan membina demi kebaikan bersama. Para pengamal media sama ada media elektronik atau media cetak juga diharapkan dapat memainkan peranan yang lebih besar di dalam menyediakan rancangan dan bahan-bahan yang boleh membina kekuatan akal dan membangunkan modal insan.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
 
Mimbar ingin menegaskan bahawa suasana harmoni dan hubungan mesra di antara guru-guru, para ibubapa dan masyarakat perlu diperkukuhkan demi melicinkan proses pendidikan. Untuk tujuan tersebut marilah sama-sama kita membudayakan perkara-perkara berikut:

Pertama: Janganlah diperbesar-besarkan atau disensasikan isu-isu yang remeh-temeh sebaliknya selidikilah terlebih dahulu punca sesuatu isu tersebut dan selesaikanlah secara bijaksana kerana guru juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Kedua: Budayakan amalan perundingan dan perbincangan sepertimana tuntutan Islam dalam menangani sebarang masalah. Ianya bertujuan bagi mengelakkan timbulnya pelbagai kesan yang tidak diingini kepada semua pihak.

Sidang Jumaat yang dihormati;
 
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru dan berpesan, marilah sama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru melalui tindakan berikut:

Pertama: Mendoakan kebahagian buat guru-guru, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
 
Kedua: Menziarahi guru-guru untuk mengeratkan silaturrahim.
Ketiga: Menghulurkan apa juga bentuk sumbangan mengikut kemampuan masing-masing kepada institusi pendidikan.
Keempat: Berkatalah dengan lemah-lembut dan jangan sekali-kali menyakiti hati guru.
 
Kelima: Ucapkanlah terima kasih kepada guru-guru dan semua insan yang pernah menabur bakti dan budi kepada kita.
Buat para guru pula, mimbar berpesan teruslah beristiqomah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak bangsa, mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al- Maidah ayat 2:

Maksudnya: “dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan ( kebaikan ) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya) ”


No comments:

Post a Comment