Wednesday, May 2, 2012

Ziarah Orang Sakit

Semalam petang saya ke tingkat 7 Hospital Kuala Terengganu menziarahi rakan sekerja dan ahli jemaah masjid Terapung, Tuan Haji Salleh Ibrahim. Beliau dimasukkan ke hospital hampir seminggu kerana masalah denyutan jantung yang terlalu perlahan.

Alhamdulillah sewaktu bertemu semalam keadaannya sihat dan boleh berbual dengan rancak. Katanya, esok beliau akan dibedah untuk proses memasukkan bateri ke dalam tubuhnya bagi membantu menstabilkan perjalanan jantung beliau. Sewaktu saya menulis ini mungkin beliau sedang dibedah ataupun mungkin telah selesai. Mengikut katanya proses pembedahan itu memakan masa selama dua jam sahaja. Mudah-mudahan Allah selamatkan beliau menjalani pembedahan.

Tahu tak berapa kos bateri tersebut ? ............. RM 22.000.00. Cuma untungnya beliau ialah bekas kakitangan kerajaan dan segala kos itu akan dibiayai oleh kerajaan. Cuma perlu dahulukan duit sendiri untuk mempercepatkan proses pembedahan. Pembedahan itu akan dijalankan di Hospital NUr Zahirah Kuala Terengganu. (Hebat Terengganu kita).

Dalam dua tiga bulan ini saya telah beberapa kali ke hospital, menziarahi rakan dan taulan yang sedang menjalani rawatan. Alhamdulillah, bila menziarahi rakan-rakan yang terlantar di hosital, sedikit sebanyak menimbulkan rasa keinsafan betapa beruntungnya saya, dan amat-amat bersyukur kerana Allah tidak menguji saya dengan penyakit yang seberat ditanggung oleh orang lain.

Baru-baru ini bekas guru saya, sewaktu berada dalam majlis persaraan rakan sejawat saya Tuan Haji Yusof Karim di SKSS1, beliau heran kerana katanya, saya kelihatan muda setelah bersara. Bukan main senyum lebar saya, tetapi dalam hati rasa bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan kesihatan kepada saya. Beliau betranyakan apa resepinya. Saya kata tiada resepi, tetapi mungkin kerana banyak rehat, tak banyak perkara hendak difikirkan,  ada masa untuk cycling, tanggungjawab memikul amanah sekolah telah tiada lagi, dan banyak baca al Quran mungkin itulah agaknya resepinya. Tetapi yang saya rasa bersyukur dan yakin ialah kesihatan kita ini adalah rezeki yang Allah kurnia. Jika Dia (Allah) hendak tarik balik, dalam sekelip mata, kita boleh jatuh sakit.

Saya terfikir juga, bagi orang yang ada kemampuan darisegi kewangan, mungkin masalah menukar bateri jantung, atau apa sahaja kos perubatan, mereka boleh hadapi dan selesaikan. Tapi apa agaknya yang mampu dilakukan oleh mereka yang tiada pendapatan tetap, bukan kakitangan tangan kerajaan atau swasta, macam mana mereka hendak atasi masalah tersebut. 

Itulah hikmah dan kekayaan Allah swt, orang miskin, ikut cara orang miskin, orang kaya pula ikut kemampuan dan cara orang kaya. Munkin sakit orang miskin tak sama dengan sakit orang kaya agaknya.

Walau bagaimanapun saya yakin dan percaya pesan Rasulullah saw, ingat lima perkara sebelum datang lima perkara, hidup sebelum mati, kaya sebelum miskin, senang sebelum susah, muda sebelum tua, sihat sebelum sakit. Sebagai penutup celoteh saya pagi ini, suka saya mencadangkan kepada rakan-rakan yang sedang bertugas ataupun telah bersara ataupun yang terlalu sibuk dengan urusan dunia, peuntukanlah masa anda untuk sentiasa mengingati Allah dalam duduk, dalam berjalan, berjoging ataupun sewaktu terbaring di atas katil hospital atau dimana sahaja kita berada, berzikirlah kepada Allah, bacalah Al Quran, mudah-mudahan segala perkara yang menyebabkan kita tertekan (stress), Allah akan tolong ringankan. Dan untuk tatapan bersama kita renungkan artikel di bawah ini.

Zikir terapi ajaib ubat kegersangan hati, roh insan
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin


ZIKIR mempunyai kedudukan sangat istimewa kerana ibadah ini digalakkan Islam sebagai satu bentuk amal ibadah yang menunjukkan sifat tunduk serta patuh sepenuhnya kepada Allah, disertai pula rasa kasih, reda dan yakin kepada-Nya.

Mukmin yang sentiasa mengamalkan zikir akan dapat merasai kesannya seperti ketenangan jiwa. Firman Allah yang bermaksud: (Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad, ayat 28)



Dalam kehidupan, kita sering berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sehingga ada ketikanya membawa kepada keresahan jiwa. Justeru, dengan sentiasa mengamalkan ibadah zikir, ia ibarat terapi ajaib yang menyembuhkan keresahan jiwa manusia.

Namun, penyerapan roh zikrullah tidak datang kepada pengamalnya jika hati tidak bersama tatkala berzikir. Ketenangan hati orang mukmin terhasil daripada zikrullah adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh hati yang diselaputi kemanisan iman.

Selain itu, mukmin yang sentiasa berzikir akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Ini janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya serta orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Ahzaab, ayat 35)

Walaupun zikir amalan yang mudah dilakukan, tetapi menjadi berat untuk dibiasakan. Antara penghalang kepada seseorang untuk membiasakan lidah berzikir ialah disebabkan dosa yang dilakukan.

Apabila daki dosa tertampal pada hati, ia terhijab untuk menggerakkan seseorang berzikir. Faktor lain, seseorang itu dibelenggu sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka mengumpat dan sebagainya. Sifat keji seperti ini juga akan menghijab hati untuk berzikir.

Ibnu Taimiyah berkata, keperluan hati terhadap zikir umpama keperluan ikan terhadap air. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan ikan jika kita keluarkan dari air.

Al-Imam Syamsuddin Ibnu Qayyim mengatakan: Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.

Demikian penting dan tingginya kedudukan zikir kepada seseorang mukmin. Kita seharusnya berpegang kepada prinsip hidup, tidak sempurna hari tanpa zikir. Inilah yang seharusnya kita didik supaya lidah dan hati sentiasa berzikir kepada Allah.

Ibnu Masud ada mengatakan, sesungguhnya aku bertasbih beberapa kali itu lebih aku sukai daripada aku menderma beberapa dinar dalam jumlah yang sama di jalan Allah. Zikir berkhasiat pula sebagai ubat bagi kekerasan hati.

Dikisahkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri: Ya Abu Said, aku ingin mengadu kepada tuan, mengapa hati aku ini menjadi keras begini? Lantas kata Hasan: Lunakkanlah hatimu itu dengan zikir.

Kedudukan tinggi amalan berzikir turut digambarkan dalam kisah seorang bertanya kepada Salman al-Farisi: Amal apakah yang paling utama? Kemudian dijawab Salman: Tidakkah engkau pernah membaca ayat, Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya) daripada ibadah yang lain. (Surah Al-Ankabut ayat 45)

Abdullah bin Masud pernah berkata: Sesungguhnya sebuah gunung menyeru gunung yang lainnya dengan namanya dan bertanya, apakah hari ini ada orang yang lalui di atasmu dan menyebut Allah (berzikir)? Maka apabila gunung itu menjawab, ya, maka ia akan gembira.

Demikian juga riwayat yang mengatakan Abdullah bin Abbas pernah berkata: Tidak ada sebuah lembah yang di atasnya disebut nama Allah kecuali ia akan merasa bangga atas lembah yang berada di sekelilingnya, ia merasa gembira dengan zikir yang diucapkan itu. Kegembiraan itu juga turut dirasai oleh tujuh lapis di bawah lembah itu.

Begitulah gambaran jelas menunjukkan betapa amalan zikir mempunyai keistimewaan besar yang seharusnya menjadi amalan rebutan setiap mukmin untuk mencapai keredaan Allah dan menikmati ketenangan hidup

No comments:

Post a Comment